Yakinkanlah aku

(Buat mereka yang memaksa)

Kita pun bercerita tentang hal perkahwinan
juga perlu nya mereka dalam hidup
hanya untuk melengkapkan
satu kitaran kehidupan

Jika kau kata perkahwinan itu melengkapkan
lalu kata kan pada ku
bahawa kelengkapan itu membahagiakan
walau kepincangan itu akan ada
kerana natijahnya
tidak semuanya sempurna

lalu yakinkanlah aku
bahawa kebahagian itu akan ada
walaupun hakikatnya mereka adalah penagih cinta
dan sifat itu dilihat dengan kelebihan mempunyai lagi tiga
dengan alasan mengikut sunnah
walhal selalunya lebih menurut nafsu semata

Dan yakinkan aku lagi
bahawa kebahagian akan kunjung tiba
bila cinta pudar dan segalanya menjadi tidak kena
pulang lewat atas alasan kerja
salah bicara tangan naik ke muka

Yakinkan aku lagi
bahawa kebahagian akan kunjung tiba
bila dia sudah lupa bertanya
kerana tinggal di satu bumbung yang sama
dan tidak lagi peduli
akan kemelut rasa

Maka katakan pada ku
bahawa kebahagian itu akan kunjung tiba
walau bila tiba senja
mereka lupa akan janji hidup berdua bersama

Yakin dan katakan pada ku
perkahwinan itu membahagiakan
kerana apa yang menyakinkan
mereka berubah atas nama perkahwinan