Bicara Mu Terhenti Kerana Diam Ku

(Koleksi sajak lama 2)

Manusia tidak gemar membuat keputusan
mungkin kerana itu aku lebih membanyakkan diam
daripada mengeluarkan kata-kata
yang kau sendiri lemparkan pada angin malam
kemudian kau katakan aku bagaikan angin malam itu
yang seringkali mengejut mu dari lena yang panjang
sedangkan kau begitu mengharap melayang di fantasi mimpi
merekakan apa segala yang mungkin

Sekali lagi aku memilih diam
kau berbicara tanpa ditemani lirik mata ku
seperti kebiasaan dimana aku berminat dengan cerita mu
dan ku lihat helaian daun gugur dari rantingnya
ketika angin malam menebar dingin
kaukah daun itu?
benarkah aku angin malam?
yang meragut cerita-cerita indah mu
meski itu bukan kehendak ku

Kau dambarkan wajah sepi mu pada pandangan ku
nafas resah mu dan nafas resah ku bersatu
pada perbualan yang bisu
dan bicara mu terhenti kerana diam ku

Kau dan aku menjadi diam
kerana itu kita pun menyaksikan daunan menari
bersama rentaknya angin malam

-30 Ogos 2007-
Kuala Lumpur